Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba tidak lama lagi. Semua warga MRSM kelihatan tidak sabar untuk bercuti dan merayakannya bersama keluarga yang tersayang. Walau bagaimanapun, terdapat sebilangan kecil warga maktab yang tidak pulang ke kampung berhari raya pada tahun ini. Diharapkan gembira berhari raya disamping keluarga tercinta. Tidak kurang juga ada yang sedih tidak dapat menyambut perayaan bersama insan tersayang kerana kehilangan ahli keluarga yang pergi menyahut panggilan Ilahi. Semoga Allah merahmati pemergiannya.
Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna. Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, iaitu jika dilakukan akan terbatal puasanya. Lantaran itu Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Tabrani dari Ubadah bin Soib menyatakan bahawa:
“Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha dengan amalan yang baik dan ikhlas kerana Allah, maka tidak akan mati hatinya pada hari semua hati-hati akan mati, iaitu hari kiamat.”
Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan kepada semua warga MRSM Mukah. Maaf Zahir dan Batin.